PBAAT 2019: HIMPUNAN PENYELIDIK DAN AHLI AKADEMIK
Buat julung kalinya bumi UniSZA menyaksikan penyelidik dan ahli akademik bahasa Arab Asia Tenggara berhimpun dalam satu persidangan yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UniSZA. Persidangan Bahasa Arab Negara-negara Asia Tenggara Kali Ke- 3 (PBAAT 2019) telah berlangsung dengan jayanya pada 11 dan 12 September 2019, bertempat di UniSZA Kampus Gong Badak. Persidangan ini dianjurkan secara bersama oleh UniSZA dan Persatuan Bahasa Arab Malaysia, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Ikatan Pengajar Bahasa Arab Se-Indonesia, Universitas Islam Negeri Ar-Raniry dan Yayasan Asia Tenggara Kerajaan Thailand.
Persidangan kali ketiga ini meneruskan legasi yang telah dimulakan pada persidangan kali pertama di Brunei pada tahun 2017 dan kali kedua di Acheh, Indonesia pada tahun lepas. Persidangan kali ketiga ini memberikan tumpuan kepada aspek penyediaan buku teks bahasa Arab yang merupakan salah satu elemen penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.