Cetak

KUBARA 2.0

Ditulis oleh Pentadbir.

KUBARA4

Pembelajaran bahasa Arab dengan tujuan memahami bahasa al-Quran sewajarnya menjadi aspirasi setiap Muslim. Selain itu, pembelajaran bahasa Arab juga dilihat penting bagi memenuhi tuntutan komunikasi yang meluas di peringkat global.

Pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan berusia sangat berminat untuk mendalami ilmu berkaitan bahasa Arab. Mereka ingin mempelajari bahasa Arab kerana menyedari keperluan memahami bacaan-bacaan dalam ibadat harian. Dalam usaha memberi peluang kepada mereka untuk mendalami ilmu bahasa Arab, Pusat Pendidikan Berterusan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Bahasa Arab untuk Orang Awam (KUBARA 2.0) buat kali kedua pada setiap hari Sabtu bermula 22 Julai 2017 dan berakhir pada 14 Oktober 2017 yang lalu.

Kursus yang dijalankan selama 12 minggu ini bertujuan menyediakan platform pembelajaran bahasa Arab kepada individu yang benar-benar berminat untuk mempelajari bahasa Arab secara formal di luar waktu kerja. Modul kursus ini memberi penumpuan kepada konsep bahasa Arab untuk ibadah (al-'Arabiyyah li al-'Ibadah). Penekanan diberikan kepada pembelajaran kosa kata dan tatabahasa Arab menerusi ayat-ayat al-Quran, doa dan zikir harian, serta teks-teks bahasa Arab yang berkaitan dengan Islam dan ibadah.

Seramai 20 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat serta peringkat usia telah menyertai kursus ini. Tenaga pengajar terdiri daripada para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBK. Pada setiap hari pembelajaran, kursus ini dibahagikan kepada tiga slot, iaitu modul tatabahasa, modul kemahiran membaca dan menulis dan modul kemahiran mendengar dan bertutur. Para peserta perlu melengkapkan kehadiran selama 60 jam belajar, dengan lima jam bagi setiap kali sesi pertemuan.

Penganjuran KUBARA 2.0 ini menerima respons yang amat positif daripada peserta dan mereka mengharapkan kursus ini diteruskan pada masa hadapan dengan modul yang lebih mendalam sebagai lanjutan daripada pengisian modul yang telah mereka pelajari.

 

ll Galeri ll

Cetak

KEBANGGAAN FBK

Ditulis oleh Pentadbir.

gg

 

Sekalung tahniah diucapkan kepada Puteri Nuraaina Balqis binti Mohd Asri, pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Dengan Komunikasi, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang telah menerima Honorable Mention Award di Asia Youth International Model United Nation (AYIMUN) 2017 yang berlangsung pada 3–6 November 2017 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Program yang melibatkan 600 orang peserta daripada 32 buah negara ini telah dianjurkan oleh Indonesia Global Network, sebuah pertubuhan bukan kerajaan dengan kerjasama Event Organizer MICE (Meeting, Incentive, Convention and Exhibition). Penganjuran program ini adalah bertujuan mengumpul belia daripada seluruh dunia untuk bekerjasama dalam gerakan sosial, perniagaan, teknologi dan budaya serta untuk mengenali antara satu sama lain demi membawa perubahan kepada dunia yang lebih baik.

Program bertaraf antarabangsa ini juga dianjurkan untuk membina kemahiran kepimpinan golongan belia dari pelbagai negara. Ia juga merupakan membuka peluang bagi para peserta untuk mengenali, menghargai dan menyokong antara satu sama lain tanpa batasan sempadan geografi.

Selain itu, program ini merupakan satu bentuk simulasi akademik yang memberi peluang kepada peserta untuk merasai cara dan kaedah yang digunakan oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam membuat dasar bagi sesuatu agenda. Simulasi ini melibatkan peraturan, prosedur dan aliran kerja antara delegasi antarabangsa, lembaga eksekutif dan pihak media antarabangsa. Semua agenda yang ditugaskan kepada para peserta yang terdiri daripada pelajar prasiswazah mahupun pascasiswazah pelbagai latar belakang akademik kemudiannya dibentangkan dalam sesi perdebatan ala parlimen yang berkualiti dan menarik.

Putri Nuraaina Balqis telah ditugaskan untuk mewakili delegasi negara Cameroon dalam Majlis UNESCO dan membentangkan agenda berkenaan pemeliharaan warisan budaya dengan tajuk 'The Involvement of Society in Preserving Cultural Heritage'. Menurut beliau, program ini telah membuka mata dan minda beliau dalam memahami mekanisme yang digunakan oleh PBB dalam menentukan sesuatu dasar. Beliau juga sangat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh pihak keluarga, fakulti dan universiti serta ADUN Kamunting, YB. Dato' Mohammad Zahir bin Abdul Khalid yang merealisasikan penglibatan beliau dalam program ini.

Cetak

SISWA BOKAMPONG

Ditulis oleh Pentadbir.

BOKAMPONG

 

Pada 3-5 November 2017, pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FALCOM) sesi 2016/17 telah menganjurkan program 'Siswa Bokampong' yang bertempat di Kampung Simpang Gelami, Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Program ini telah mendapat tajaan daripada enam agensi iaitu Baitulmal Negeri Sembilan, JBR Bundle, Rampai Caterer, Agensi Sukarelawan Asas Sejahtera, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UniSZA dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK).

Menurut pengarah program 'Siswa Bokampong', Saudara Muhammad Athari Basir, program ini merupakan satu program kemasyarakatan yang memberi fokus terhadap bidang utama FBK, iaitu pembelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Program ini disertai oleh 40 mahasiswa FBK dengan majoriti daripada mereka merupakan pelajar tahun akhir.

Menurut Saudara Athari, beliau mensasarkan mahasiswa tahun akhir sebagai peserta program ini supaya mereka dapat mengaplikasikan kemahiran yang telah mereka pelajari sepanjang pengajian di FBK bersama kelompok masyarakat awam.

Program ini dibahagikan kepada dua aktiviti utama, iaitu aktiviti kemasyarakatan dan aktiviti pemantapan bahasa. Dalam aktiviti kemasyarakatan, mahasiswa berpeluang tinggal bersama keluarga angkat dan melakukan pelbagai aktiviti bersama mereka seperti Tarik Ongap (Senam Pagi), Sukan Rakyat dan makan bersama.

Manakala, dalam aktiviti pemantapan bahasa pula, FALCOM telah bekerjasama dengan SMK Dato' Undang Syed Ali Al-Jufri (SMK DUSAJ), Kuala Klawang, dalam melaksanakan modul-modul aktiviti pembelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Arab dengan tema 'Suko Bahaso Ko Tak dan Ekau Eden'. Aktiviti ini melibatkan 150 orang pelajar asrama Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima SMK DUSAJ.

Selain itu, sepanjang program 'Siswa Bokampong' ini, mahasiswa FBK juga berpeluang untuk merasai penerapan budaya dan adat Negeri Sembilan seperti makanan yang pedas serta suasana kehidupan di kampung berkenaan.

Majlis Perasmian Penutupan 'Siswa Bokampong' dihadiri oleh Adun Kuala Klawang, iaitu YB. Dato' Haji Yunus Rahmat, Dekan FBK, YBhg. Prof. Madya Dr. Zulazhan Ab.Halim, Timbalan Dekan HEPA FBK, YM. Engku Suhaimi Engku Atek, Pengerusi JKKK Kampung Simpang Gelami, Encik Mohd Bakri Abd Majid, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab FBK selaku pegawai pengiring, Encik Mohd Fauzi Abdul Hamid dan Puan Juliana Borhanuddin, mewakili Encik Amir Fuad Mat Dom, Pengetua SMK DUSAJ.

YB. Dato' Haji Yunus dalam ucapannya menegaskan bahawa mahasiswa perlulah sentiasa bersama masyarakat, di samping perlu belajar bersungguh-sungguh dan meraih kejayaan yang cemerlang. Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program ini kerana berjaya menganjurkannya dengan baik dan mengharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Program 'Siswa Bokampong' ini juga mendapat liputan media daripada pihak akhbar Berita Harian.

 

ll Galeri ll