Cetak

BENGKEL PEMANFAATAN TEKNOLOGI DALAM PEMBELAJARAN BAHASA ARAB

Ditulis oleh Pentadbir.

PEMNAFFATT

Bengkel Pemanfaatan Teknologi telah dianjurkan dengan jayanya pada 30 September 2017. Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Bahasa Arab (PPBA), Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Program yang bertempat di makmal komputer perpustakaan ini telah disertai oleh 60 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab semester tujuh.

Majlis bermula dengan ketibaan tetamu kehormat yang terdiri daripada Dr. Khamimi Zainuddin (panel jemputan), Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Ustaz Mohd Fauzi Bin Abdul Hamid serta para pensyarah PPBA. Majlis diteruskan dengan ucapan aluan daripada Ustaz Mohd Shahrizal bin Nasir selaku pengarah program. Beliau mengalu-alukan kehadiran Dr. Khamimi Zainuddin dalam ucapannya. Dr. Khamimi memulakan slot dengan sesi soal jawab bersama para pelajar. Beliau menggunakan paparan slide untuk menarik minat pelajar. Antara soalan yang diajukan ialah "Kenapa anda perlu belajar bahasa Arab?" dan "Kenapa anda memilih kos Bahasa Arab di UniSZA?". Para peserta juga diajar menggunakan aplikasi permainan Kahoot. Kemudian, beliau mengajukan lapan soalan kuiz menerusi aplikasi yang telah dibina oleh beliau sendiri.

Majlis penutup bengkel ini telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Fauzi bin Abdul Hamid. Beliau menyokong sepenuhnya penganjuran Bengkel Pemanfaatan Teknologi dalam Pembelajaran Bahasa Arab ini dan beliau juga mencadangkan agar program ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

Rata-rata peserta memberi respon yang positif terhadap penganjuran bengkel ini. Selain daripada dapat mempelajari bahasa Arab secara menarik dan santai, peserta juga dapat mendalami ilmu teknologi berkomputer. Banyak manfaat yang diperoleh dalam bengkel ini bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Arab peserta. Sebelum majlis berakhir, Dr. Khamimi sempat memberi peluang kepada peserta untuk meninggalkan komen serta perkenalan diri di laman sesawang milik beliau.

 

ll Galeri ll

Cetak

MINGGU MESRA SISWA/WI FBK 2017

Ditulis oleh Pentadbir.

MMS

Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) telah mengadakan Minggu Mesra Siswa (MMS) peringkat fakulti pada 11 September 2017 lalu. Program yang melibatkan para pelajar bagi pengambilan sesi 2017 ini telah bertempat di Bilik Umar 01 dan 02. Pada semester kali ini, FBK telah menerima seramai 180 orang pelajar yang terdiri daripada 83 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, manakala 97 orang bagi Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris dan Komunikasi.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, kemudian disusuli dengan bacaan doa oleh wakil pelajar FBK. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Dekan FBK, YBrs. Dr. Zulazhan Bin Ab. Halim. Sejurus ucapan dan perasmian majlis tersebut, para pelajar diberi penerangan dan gambaran awal mengenai FBK serta program-program yang dijalankan sepanjang tahun di FBK. Selain itu, para pelajar juga didedahkan mengenai struktur pengajian mereka selama berada di UniSZA oleh Ketua Pusat Pengajian (KPP) masing-masing.

Perasmian Minggu Mesra Siswa peringkat FBK ini telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Zulazhan bin Ab.Halim. Turut menghadiri majlis perasmian tersebut adalah para pensyarah serta kakitangan sokongan FBK. Program ini dilihat mampu membantu para pelajar baru bagi mendapat gambaran awal mengenai fakulti mereka. Selain itu, para pelajar juga mampu untuk mengenali warga FBK termasuk kakitangan, staf mahupun pensyarah. Semoga program yang diadakan ini mampu melahirkan pelajar yang lebih maju ke hadapan dan berdaya saing.

 

ll Galeri ll

Cetak

Persidangan UniSZA-LANGLIT

Ditulis oleh Pentadbir.

LANGLIT

FBK Menganjurkan UniSZA International Conference on English Language, Literature and Teaching Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) Universiti Sultan Zainal Abidin menganjurkan UniSZA International Conference on English Language, Literature and Teaching (UniSZA-LANGLIT 2017) pada 22 hingga 23 Mac 2017.

Persidangan UniSZA-LANGLIT 2017 ini berlangsung di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu. Persidangan selama dua hari ini berjaya mengumpul ahli akademik dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pandangan serta pengetahuan tentang bidang kajian yang meliputi bidang Bahasa, Kesusasteraan dan Pengajaran Bahasa Inggeris. Persidangan ini turut mengundang tiga penyampai ucaptama terkenal iaitu Profesor Alan Maley seorang profesor terkemuka dalam bidang Bahasa Inggeris dari United Kingdom, Ms. Jan Blake seorang pencerita terkemuka dunia dari United Kingdom, dan Ms. Carolyn Graham yang merupakan pengasas pembelajaran bahasa melalui Jazz Chant dari Amerika Syarikat.

Tema persidangan kali ini ialah "Enriching English Language, Literature and Teaching Experience" dilihat amat sesuai dengan pembangunan arus global kini yang mementingkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara antara masyarakat di seluruh dunia. Sebagai sebuah entiti akademik yang ditubuhkan untuk meningkatkan penguasaan bahasa dalam kalangan para pelajar, FBK memandang penganjuran persidangan ini amat penting dan merupakan satu keperluan semasa. Ini kerana matlamat persidangan ini bukan sahaja untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, malah sebagai satu platform penting dalam mengenal pasti kelebihan serta permasalahan dalam penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat, khususnya di Malaysia.

Dengan kehadiran penyampai ucaptama terkenal dan para pembentang serta peserta dalam persidangan ini, penganjuran UniSZA-LANGLIT 2017 ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Persidangan ini telah berjaya mengumpul 150 orang pembentang dari dalam dan luar negara. Perasmian persidangan ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Mohd Zubir bin Embong, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu.

 

ll Galeri ll