KUALA LUMPUR, 5 Mei - Seramai lapan orang pemantun dari Kelab Citra Puisi (KeRiSZ) yang mewakili Kolej Kediaman UniSZA dan tiga orang pengiring  telah bertolak ke Universiti Malaya (UM) bagi mewakili UniSZA ke Temasya Pantun Piala Tepak Bestari 2024 yang berlangsung dari 2 hingga 5 Mei 2024.

Pertandingan kali ini menemukan 12 pasukan pemantun dari enam buah Institut Pengajian Tinggi Awam yang mempertandingankan pantun jual dan beli bertemakan 14 negeri dalam Malaysia dan pantun nasihat dengan mengetengahkan aspek Kebudayaan dan Kesenian, Loghat dan Bahasa, Ekonomi Tempatan, Sejarah dan Ketamadunan, Sosial dan Kepimpinan, Warisan Alam, Mitos dan Lagenda serta Isu Semasa  yang berlaku di Malaysia.

Walaupun hanya berjaya mara ke peringkat suku akhir, ini adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan bagi lapan pemantun dari UniSZA ini.

Melabuhkan tirainya pada 5 Mei 2024, pasukan UniSZA tidak pulang dengan tangan kosong apabila salah seorang pemantun telah dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik Keseluruhan (Tempat Kedua).

Semoga segala yang baik sepanjang berada di ibu kota ini mampu dibawa pulang dan disebarkan kepada mahasiswa/i di UniSZA. Menutup kata, jika bukan generasi muda kini yang menyambung legasi warisan negara, siapa lagi yang akan melaksanakannya.