KOTA BHARU, 20 Mei- Majlis Perumahan Awam Malaysia (MAPUM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan telah menganjurkan Seminar Pengurusan Asrama Peringkat Kebangsaan (SPARK) Tahun 2024 yang diadakan pada 20 hingga 22 Mei 2024 bertempat di Hotel H-Elite, Kota Bharu, Kelantan.

Seramai 227 peserta dan pembentang dari 20 buah Universiti Awam, lima Universiti Swasta dan satu Penyedia Perkhidmatan telah menyertai seminar kali ini dan UniSZA telah di wakili oleh seorang pembentang dan dua orang peserta iaitu Dr. W Omar Ali Saifuddin Wan Ismail, Dr. Nur Saadah Shapri dan Wan Iylia Syaheera Wan Abd Aziz. 

Dirasmikan oleh YBrs. Encik Hirman Awang, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi, beliau dalam ucapannya berkata, penganjuran seminar ini bertujuan untuk mencapai lima objektif iaitu meningkatkan kecemerlangan pengurusan kolej kediaman, meningkatkan kesejahteraan mahasiswa dalam dan luar kampus, berkongsi idea dan inovasi bagi menangani masalah pelajar di kolej kediaman dan pelajar luar kampus, menjadikan kolej kediaman sebagai pusat kecemerlangan akademik dan kokurikulum bagi melahirkan pemimpin masa depan serta merealisasikan hasrat kerajaan dalam membentuk mahasiswa madani.

Bertemakan “Kesejagatan Universiti Membentuk Mahasiswa Madani”, SPARK 2024 diharap dapat menzahirkan kepentingan peranan pentadbir dan golongan akademik bagi aktiviti pembangunan dalam membentuk pelajar yang berdaya saing serta progresif selari dengan aspirasi universiti dan negara.