Tuesday, 16 July 2024

Muhammad ‘Aidil, Ahmad Abid terima hadiah pakej umrah di Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

KUALA NERUS: Pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Muhammad ‘Aidil Senin dan Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman, Ahmad Abid Mohd Radzi bersyukur menerima hadiah kemenangan pakej umrah tajaan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Muhammad ‘Aidil diumumkan johan tilawah kategori lelaki manakala Ahmad Abid johan bagi hafazan juzuk 1-30 kategori lelaki pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024, di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA.

Kedua-dua mereka turut membawa pulang wang tunai RM 2,000, trofi dan sijil.

Sementara itu, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nadirah Syazwani Sapari dan Mawardah Mohd Rani, masing dinobatkan johan tilawah al quran dan hafazan juzuk 1-30 kategori wanita sekaligus menerima wang tunai RM 2,000, trofi dan sijil.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Beliau ketika ditemui berkata, seramai 160 peserta dari 32 IPT seluruh negara menyertai majlis tilawah itu.

Katanya, program itu membawa satu gagasan yang besar dalam menjayakan agenda perpaduan kerajaan Malaysia Madani.

“Nilai perpaduan yang berteraskan kepada Al-Quran adalah merupakan tunjang kepada masyarakat madani, yang maju bukan hanya dari segi kebendaan tetapi juga fikrah dan kerohanian”.

“Institusi pendidikan tinggi juga adalah antara platform yang tepat untuk memperkasakan modal insan yang mempunyai fikrah dan kerohanian yang bersepadu dan beraliran sederhana”, katanya pada majlis berkenaan.

Katanya lagi, majlis pada hari ini adalah merupakan antara wasilah yang berkesan dalam membangunkan potensi modal insan yang wasatiyah.

Majlis anjuran UniSZA dengan kerjasama KPT dan JAKIM itu telah berlangsung selama enam hari bermula pada 8 hingga 10 Jun bagi peringkat saringan dan 11 hingga 13 Jun untuk peringkat akhir.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara